Seorang pengacara televisyen antarabangsa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas teman wanitanya dua tahun lepas.
Tertuduh, Joey James Ghazlan, 40, atau lebih dikenali sebagai Joey G membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mengikut pertuduhan, Joey G didakwa melakukan kesalahan ugutan jenayah terhadap Patricia Sue Lin dengan menghantar e-mel ugutan bagi tujuan menakutkan mangsa di sebuah kondomonium di Sentul, di Kuala Lumpur pada 2.19 pagi, 19 Mei 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.